Kebijaksanaan Almarhum Tun Taib kukuhkan Parti PBB – Abdullah Saidol

KUCHING: Kebijaksanaan bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Almarhum Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud ketika memegang tampuk pimpinan menjadi asas yang mengekalkan keharmonian politik di negeri ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Datuk Abdullah Saidol berkata, beliau merasa bangga berkhidmat menjadi Ketua Setiausaha Politik kepada Abdul Taib sebelum Almarhum bersara sebagai Ketua Menteri.

”Kebijaksanaan Allahyarham yang berjiwa besar berjaya memastikan ’rumah’ parti kami (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) (PBB) berdiri teguh, bersatu dan setia.

”Tiada yang sibuk berebut kerusi membuka pakatan sana sini. Di bawah langit Bumi Kenyalang, pemimpin kita membina rumah dan pagar untuk kita anak Sarawak.

”Rumah kita ini dibina di atas asas tapak yg kukuh untuk melindungi generasi seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Usul Penghargaan terhadap Almarhum Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) di sini, hari ini.