Program SejaTi Madani perkasa ekonomi usahawan kampung

DARO: Program SejaTi Madani yang diperkenal Kerajaan Pusat menjadi platform memperkasakan ekonomi usahawan di kawasan kampung.

Menurut Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi, di bawah program itu setiap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) akan diperuntukkan RM100,000 bagi melaksanakan Program Peningkatan Ekonomi di setiap kawasan masing-masing.

Pengerusi JKKK boleh mengemukakan kertas kerja kepada pihak Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak berkenaan pelaksanaan program yang akan dilaksanakan oleh mereka.

“Saya lihat Kerajaan Persekutuan prihatin terhadap JKKK supaya ia dilihat relevan dan mempunyai pencapaian untuk membantu masyarakat di JKKK masing-masing.

“Ini akan memberi peluang JKKK merangka perancangan peningkatan ekonomi ahli mereka dan diberi tempoh enam bulan untuk hasil daripada program berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penangguhan Sesi Taklimat Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi Madani) Daerah Matu, semalam.

Beliau turut menggesa ahli JKKK agar peka masalah masyarakat di kawasan masing-masing.