SARATOK: Rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) perlu segera dibina untuk membantu mangsa kebakaran di Kampung Perpat dan Kampung Kupang, di sini.
Kediaman itu ranap masing-masing di Kampung Perpat dan Kampung Kupang sehingga penghuninya tinggal sehelai sepinggang dalam kejadian itu tahun lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, buat masa ini mangsa kebakaran masih lagi menumpang di kediaman saudara terdekat mereka.
“Kita berharap kerajaan mempercepatkan pembinaan rumah bantuan PPRT kepada mangsa kebakaran terbabit,” katanya semasa melakukan tinjauan rumah mangsa kebakaran Morshidi Boo di Kampung Kupang dekat sini.
Mohamad Duri berkata, sebagai alternatif Pejabat Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka telah memberi sumbangan perkakas dan bahan membina tempat berteduh sementara kepada mangsa kebakaran di Kampung Kupang.
