Switzerland, Sarawak bekerjasama bangun tenaga hijau

KUCHING: Kerjasama erat dengan Switzerland akan membantu mempercepatkan inisiatif hijau dan menyumbang kepada agenda kelestarian global, kata Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni.

Beliau berkata, Sarawak kini aktif dalam usaha membangunkan tenaga diperbaharui menggunakan teknologi terkini.

Kerangka strategik dan kemajuan yang disusun bertujuan meningkatkan penyelesaian kelestarian tenaga, katanya dalam kenyataan semasa mengalu-alukan Pesuruhjaya Switzerland ke Malaysia, Chantal Moser yang mengadakan kunjungan hormat bagi membincangkan potensi kerjasama mengenai inisiatif hijau di sini.

Hazland berkata, perbincangan itu fokus kepada usaha Sarawak boleh meningkatkan inisiatif hijau melalui rakan kongsi strategik terutama dalam sektor bioalgae dan hidrogen.

Switzerland dan Sarawak, katanya, bersetuju memain peranan penting dalam mengurangkan perlepasan karbon dan mempercepatkan matlamat peralihan tenaga negeri ini.

Perbincangan itu turut menyediakan peluang bagi membincang kerangka yang telah Sarawak susunkan bagi menyokong projek terbabit termasuk dasar menggalakkan penyelidikan, inovasi dan pelaburan dalam teknologi hijau.

Lawatan Chantal Moser itu, kata Hazland, menandakan langkah penting untuk mengeratkan hubungan dua hala antara Switzerland dan Sarawak terutama dalam bidang kelestarian alam sekitar dan meningkatkan kolaborasi pada masa depan.

Switzerland dan Sarawak menzahirkan rasa yakin jalinan kerjasama erat dalam bidang terbabit dan mengukuhkan komitmen untuk membina masa hadapan hijau dan mampan, tegas beliau.