Tabung Haji sasar 100 peratus pendeposit umat Islam Sarawak

KUCHING: Lembaga Tabung Haji mensasarkan untuk mencapai 100 peratus pendeposit dalam kalangan penduduk Islam di negeri ini, menurut Pengarah Tabung Haji Wilayah Sabah dan Sarawak, Datuk Nurlaila Said.

Katanya, ketika ini jumlah pendeposit dalam kalangan penduduk Islam di Sarawak hanyalah 40 peratus atau 325,000 orang.

Beliau berkata demikian ketika melakukan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri Sarawak hari ini.

Menurut beliau, kunjungan ini bagi memohon restu dan sokongan Kerajaan Sarawak terutamanya daripada Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi untuk meningkatkan pendeposit kalangan umat Islam di negeri ini.

Dalam pada itu, beliau bersama rombongan turut menjemput Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi untuk hadir pada Program Kursus Perdana Haji anjuran Tabung Haji Negeri Sarawak yang akan diadakan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 27 dan 28 April kelak.

Hadir sama Pengarah Tabung Haji Negeri Sarawak, Amat Kassim Pait, Ketua Pemasaran Lembaga Tabung Haji Negeri Sarawak Madehi Mahdan dan Ketua Pentadbiran dan Haji Negeri Lembaga Tabung Haji Negeri Sarawak Hazidah Bujang Salleh.