KUCHING: Kerja-kerja menaik taraf Loji Rawatan Air Batu Kitang dijangka siap menjelang Julai tahun ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek yang bermula 1 Mac 2021 itu akan meningkatkan kapasiti air dari loji berkenaan sebanyak 104 juta liter sehari (MLD) bagi memenuhi permintaan bekalan air yang semakin meningkat hari ini.
Menurutnya, ketika ini kapasiti air di Loji Rawatan Air Batu Kitang adalah sebanyak 780 MLD yang mana memenuhi permintaan semasa iaitu sebanyak 730 MLD.
“Kerja naik taraf ini akan meningkatkan lagi kapasiti ini sebanyak 104 MLD sekali gus membolehkan loji ini mengeluarkan kapasiti air sebanyak 884 MLD,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke Loji Rawatan Air Batu Kitang hari ini.
Tambah beliau, peningkatan jumlah kapasiti ini akan dapat memenuhi keperluan air bersih di beberapa kawasan termasuklah di Petra Jaya, Santubong, Rambungan, Sempadi dan Demak Laut.
Julaihi memberitahu usaha Lembaga Air Kuching (KWB) meningkatkan kapasiti pengeluaran air ini untuk memenuhi permintaan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) bagi beberapa kawasan yang masih terkesan dengan masalah bekalan air.
Mengenai kerja-kerja penggantian paip air di seluruh Sarawak, beliau mengumumkan bahawa kerja-kerja penggantian ini akan bermula pada tahun ini dengan penekanan diberikan ke kawasan kritikal.
Katanya, kerja-kerja penggantian paip ini merupakan pelan jangka panjang selama lima tahun melibatkan dana melebihi RM1 bilion.
