ROBAN: Masyarakat di daerah kecil Roban mempunyai kelebihan di bawah tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Mereka ialah ADUN Kalaka, Mohamad Duri, ADUN Krian, Friday Belik dan ADUN Kabong, Dato Mohd Chee Kadir.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus berkata, ini kerana tiga ADUN terbabit boleh duduk bersama membincangkan setiap perancangan dengan lebih berkesan di bawah Kerajaan GPS.
“Ini terutama sekali berkaitan projek pembangunan daripada Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) serta program transformasi luar bandar (RTP),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Festival Makanan Roban (RFF) 2024 yang juga dihadiri ADUN Kalaka, Mohamad Duri, ADUN Krian, Friday Belik, di sini.
