KUCHING: Mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud disifatkan sebagai ‘bapa Sarawak moden’ berikutan kualiti kepimpinannya yang diakui sepanjang 10 tahun.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sepanjang menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri, Pehin Sri Abdul Taib menunjukkan kualiti sebenar beliau sebagai pemimpin dengan menyatukan rakyat pelbagai kaum dan agama sekali gus mewujudkan kestabilan politik di negeri ini.
“Bagi pihak rakyat Sarawak, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tun Pehin Sri Taib kerana telah mengabdikan hidupnya untuk pembangunan dan kesejahteraan Sarawak.
“Beliau memainkan peranan penting dalam melaksanakan dasar untuk menjamin masa depan Sarawak sebagai ekonomi moden.
“Antaranya termasuk mengeksploitasi sumber kekayaan baharu di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE),” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan bagi memberi penghormatan kepada Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Selain itu, kata Abang Johari kualiti Pehin Sri Taib sebagai pemimpin juga dicontohi dalam melahirkan pemimpin baharu seperti Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem, premier sendiri dan pemimpin muda yang lain.
