KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima warkah jemputan rasmi bagi menghadiri Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) esok.
Warkah berkenaan diserahkan dalam kunjungan hormat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan di Astana Negeri Sarawak pagi tadi.
Kunjungan tersebut diketuai bersama Menteri Komunikasi, Dato’ Seri Fahmi Fadzil dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Warkah jemputan itu disampaikan kepada Tun Pehin Sri dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi bagi menghadiri sambutan yang dijadual bermula pada sebelah malam, 16 September.
Bercakap kepada media selepas pertemuan tersebut, Fahmi berkata, ketibaan Tun Pehin Sri dan Toh Puan di BCCK dijangka pada jam 8.15 malam, manakala acara dijadual berakhir sekitar jam 10.30 malam.
“Alhamdulillah, kunjungan hormat berjalan dengan sangat baik. Saya dengan Dato Sri Karim menyerahkan Warkah Persilaan kepada Tuan Yang Terutama Tun untuk acara Sambutan Hari Malaysia yang akan diadakan di BCCK pada esok hari 16 September,” katanya.
Beliau turut memaklumkan persiapan sambutan berjalan lancar, termasuk penerbitan sebuah buku khas oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) untuk Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi.
Selain acara utama, beberapa program turut diadakan sempena sambutan berkenaan, antaranya program anjuran Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Majlis Kesyukuran di Masjid Jamek serta pameran sejarah hasil kerjasama Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Jabatan Penerangan Malaysia (JaPEN) dan Arkib Negara Malaysia.
Pameran tersebut turut melibatkan veteran polis dan tentera bagi berkongsi pengalaman serta mengimbau sejarah perjuangan mempertahankan kedaulatan negara.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat, Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan serta Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPEN) Negeri Sarawak, Sabri Said. – UKAS
