KUCHING: Pemimpin belia digesa bekerja dalam satu pasukan bagi membantu kerajaan membangunkan negeri ini seiring era perkembangan teknologi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tenaga belia adalah nadi pembangunan dan atas sebab itu kerajaan merancang membangunkan sektor pendidikan untuk kepentingan golongan tersebut.
“Kerajaan merancang menyedia pendidikan percuma kepada belia yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negeri ini pada 2026,” katanya berucap pada sambutan Jubli Emas Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) di sini malam tadi.
Beliau yang juga Penasihat Saberkas menegaskan, Saberkas yang dianggotai belia pelbagai kaum adalah sebuah pertubuhan terbaik membimbing golongan belia mencapai kecermelangan dan menguasai teknologi.
“Kita perlu seiring dengan perkembangan semasa dan golongan belia hendaklah dilatih untuk menguasai teknologi Kecerdasan Buatan (AI) jika mahu menjadikan Sarawak sebuah negeri maju,” tegas Abang Johari yang turut terlibat selama lebih 35 tahun dalam Saberkas.
Sambil menzahirkan rasa gembira kerana Saberkas kini berkembang dengan pesat dan disertai oleh belia pelbagai kaum, beliau berkata, Saberkas hendaklah juga dijadikan sebagai sebuah pertubuhan untuk mengeratkan perpaduan dan merancang pembangunan untuk belia.
Pada majlis itu, Premier Sarawak turut mengumumkan geran sebanyak RM500,000 untuk Saberkas dan menerima anugerah ‘Jasamu Dihargai’ serta melancarkan buku Kompilasi Pengabadian Sambutan Jubli Emas Saberkas.
Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan anugerah ‘Jasamu Dihargai’ kepada 13 bekas pemimpin Saberkas. Penerimanya ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Yang lain ialah Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangun Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Dato Sri Gramong Juna, Pemanca Dato Jason Tai Hee, Dato Ahmad Shafiee Yaman, Datuk Dr. Abang Abdul Rauf Abang Zen, Wan Markawi Wan Shagap, James Daim Ramong, Ibrahim Tuah, Cosmos Vivian Utal, Abdul Kassim Salleh, Masida Mustapha dan Desmond Chong Sze Loon.
