TYT Sarawak akan jalin hubungan baik negeri, persekutuan

KUCHING: Pelantikan Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak akan menjalin hubungan baik antara negeri ini dan persekutuan.

Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, ini kerana latar belakang Yang di-Pertua Negeri Sarawak sebagai bekas anggota polis yang kemudian menjadi peguam, bekas Ahli Parlimen dan bekas menteri persekutuan.

“Terakhir sekali menjadi Timbalan Speaker dan Speaker Dewan Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Gelanggang Al- Qamar Marapati serta Pengisytiharan Pemakaian Tanjak Serinding Awan Pertubuhan Seni Silat Sendeng Sarawak (PSSSS) di Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak
(AKYBMS), Rumah Laksamana,
Jalan Rodway, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Hilmy Othman, Penaung PSSSS Datu Sanib Said dan barisan pemimpin PSSSS.

Fadillah berkata, Dr Wan Junaidi juga terlibat dalam pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan juga menulis banyak buku.

“Beliau sudah menjelajah seluruh Sarawak, sudah pasti memahami latar belakang Sarawak, apa keperluan Sarawak,” tambahnya.

Fadillah melihat pengalaman luas terbabit akan membolehkan Yang di-Pertua Negeri Sarawak menjalinkan hubungan baik Sarawak dengan Persekutuan.