KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Sri Fauziah Mohd Sanusi selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) hari ini.
Ketibaan beliau menggunakan pesawat khas disambut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama-sama dua Timbalan-Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan
Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta dif-dif kehormat yang lain.
Sejurus tiba, beliau menuju ke Tanah Perkuburan Islam Samariang untuk menziarahi pusara Allahyarhamah isteri beliau Datin Seri Feona Sim @ Norjanah Abdullah.
Seterusnya beliau menuju ke Masjid Jamek Kuching bagi menunaikan Solat Fardu Zohor bersama dif-dif kehormat yang lain.
Terdahulu, Tun Dr Wan Junaidi menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al Marhum Sultan Ahmad Shah di Istana Negara pada Jumaat.
Turut berangkat ke istiadat ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta isteri Tun Dr Wan Junaidi, Toh Puan Sri Fauziah.
Sebaik menerima watikah, beliau turut dianugerahkan anugerah tertinggi negara, Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara (SSM) yang membawa gelaran Tun.
Tun Dr Wan Junaidi, 78, bekas Yang Dipertua Dewan Negara dilantik sebagai Yang Di-Pertua Negeri Sarawak kelapan berkuat kuasa 26 Januari 2024 bagi menggantikan Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
GAMBAR: JAPEN DAN JABATAN PREMIER SARAWAK
