KUCHING: Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak menerbitkan sebuah buku Wanita Sarawak 2024 bertajuk “Sarawak Women in Innovation And Technology”.
Menteri Kebajikan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ini selaras dengan tema sambutan Hari Wanita Sarawak 2024 di RH Hotel, Sibu pada 10 Ogos lalu.
Katanya, buku terbabit mengetengahkan 26 inovator dan teknologi wanita dari pelbagai bidang kerja termasuk mekanikal, kimia, alam sekitar, aeroangkasa, kejuruteraan bioproses, pemprosesan dan teknologi makanan, sains komputer, ahli matematik, ahli pertanian, pendidikan khas dan banyak lagi.
“Saya pasti penerbitan terbaharu ini memberi inspirasi, 26 wanita yang kami berjaya dokumentasikan adalah benar-benar wanita Sarawak yang memberi inspirasi, melalui inovasi dan tahap profesionalisme yang sangat tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis pelancaran buku terbabit di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Fatimah berkata mereka juga meletakkan Sarawak di peta dunia kerana karya mereka mendapat pengiktirafan bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga di peringkat antarabangsa.
“Semoga majlis pelancaran buku hari ini menjadi titik permulaan yang signifikan bagi mengiktiraf pencapaian wanita Sarawak dalam bidang inovasi dan teknologi,” tambahnya.
