SIMANGGANG: Jabatan Tanah dan Survei ( JTS) siap mengukur perimeter tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), kata Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Sri Aman, Michealson Nyisin.
Ia membabitkan kawasan seluas 75,869.34 hektar di Bahagian Sri Aman sejak 2010 hingga 30 April 2024.
Beliau berkata dari jumlah itu, seluas 55,205.18 hektar diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN).
“Baki seluas 20,664.16 hektar masih dalam peringkat penyemakan sebelum ia diwartakan,” katanya.
Beliau berkata demikian di majlis penyerahan surat hak milik tanah Seksyen 18 KTN bagi kawasan Sungai Entulang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor di Tandang Sari Avenue di sini, hari ini.
Michealson berkata, bagi pengukuran lot individu atau peringkat kedua, pihaknya telah mengukur sebanyak 6,672 lot individu seluas 5,993.7 hektar (14,810 ekar) dalam tempoh sama.
.
“Daripada jumlah ini, sebanyak 4,996 lot berkeluasan 4,543.58 hektar telah dikeluarkan surat hak milik tanah dibawah Seksyen 18 KTN,” katanya.
Beliau berkata bagi kawasan Sungai Entulang sebanyak 37 surat hak milik tanah itu di bawah Seksyen 18 KTN akan dikeluarkan melibatkan seramai 20 orang penerima.
Turut hadir ialah Penolong Pengarah (Tanah) Tanah dan Survei Sarawak, Mohamad Razali Arshad, Walikota Majlis Daerah Sri Aman, Kaunselor Anthony Abell Chendan dan Temenggung Mohamad Shah Achang.
