Projek penambahbaikan jalan bekas balak dilaksana di Bario

BARIO: Kerajaan Sarawak sedang melaksanakan projek penambahbaikan jalan bekas balak dan projek pembinaan sistem rawatan dan bekalan air baharu di sini.

Projek-projek di bawah Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) ini diyakini akan memberi impak besar dalam memperkukuh jaringan infrastruktur, memperluas akses kepada kemudahan asas, serta membuka lebih banyak peluang pembangunan sosioekonomi di Bario dan kawasan sekitarnya.

Berikutan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi mengadakan lawatan pemantauan ke tapak projek pembangunan terbabit baru-baru ini.

Antara projek itu termasuk penambahbaikan jalan bekas balak ke Pa’ Derong, Pa’ Ramudu dan Batu Patong serta pembinaan sistem rawatan dan bekalan air baharu di Pa’ Mada, Pa’ Dalih, Pa’ Ramudu dan Batu Patong.

Turut hadir lawatan dan mendengar taklimat perkembangan projek ialah Pengarah Wilayah HDA, Juan Ubit.