Pekan Saratok perlukan Klinik Kesihatan

SARATOK: Pembinaan Klinik Kesihatan Jenis KK3 dilihat sebagai langkah paling strategik dan mendesak di pekan Saratok.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata ini kerana Saratok tidak mempunyai sebuah klinik kesihatan.

“Klinik terdekat hanya terletak di Roban, sejauh 15.2 kilometer, yang perkhidmatannya terhad kepada kawasan sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersama ADUN Kabong, Dato Mohd Chee Kadir dan ADUN Krian, Friday Belik mengadakan sesi libat urus dengan Pejabat Kesihatan Bahagian Betong di Pejabat Daerah Saratok di sini, hari ini.

Sesi berkenaan dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid manakala pembentangan disampaikan oleh Pegawai Kesihatan Bahagian Betong, Dr. Mohamad NorHaizam Ahmad @ Narawi.

Mohamad Duri berkata, dengan keluasan 1,686.88 kilometer (km) persegi dan populasi sekitar 33,694 orang, Daerah Saratok kini hanya bergantung kepada Hospital Saratok serta Pejabat Kesihatan Daerah Saratok untuk menampung keperluan penduduk.

“Hospital tersebut menerima purata 100 hingga 150 pesakit luar setiap hari,” tambahnya.

Perbincangan turut menyentuh cadangan tapak baharu Klinik Kesihatan Roban, pembinaan Klinik Kesihatan Mid Krian Bajau serta penambahan ambulans di Kabong, Nanga Budu, Nanga Atoi dan Nyabor.