KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka menghadiri Forum Antarabangsa Simpanan Tenaga Hidro Pam 2025 yang akan berlangsung di Paris pada 9 September ini.
Persatuan Hidroelektrik Antarabangsa dalam laman sesawang rasmi persatuan itu berkata, forum tersebut merupakan kemuncak kepada kempen global mengenai kepentingan teknologi simpanan tenaga hidro pam yang kini merangkumi hampir 90 peratus kapasiti simpanan tenaga jangka panjang dunia.
“Ia bakal menghimpunkan pemimpin antarabangsa serta pakar tenaga bagi membincangkan dasar dan amalan terbaik untuk mempercepat pembangunan teknologi simpanan tenaga yang kritikal kepada peralihan tenaga bersih,” menurut IHA dalam kenyataan laman sesawang forum berkenaan.
Komitmen ini turut seiring dengan aspirasi Global Energy Storage and Grids Pledge, yang dimuktamadkan semasa COP29 dengan penyertaan 58 negara.
Ini termasuk sasaran kapasiti simpanan tenaga global sebanyak 1,500 GW, penggandaan pelaburan grid, serta pembinaan 25 juta kilometer infrastruktur grid baharu menjelang 2030.
Kehadiran Premier Sarawak yang juga menerajui portfolio Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu, Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli serta Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar menegaskan kedudukan beliau sebagai pendokong utama agenda kelestarian alam sekitar dan ekonomi hijau.
Di bawah kepemimpinannya, Sarawak mencapai status berpendapatan tinggi pada 2022 tujuh tahun lebih awal daripada sasaran dan kini muncul sebagai peneraju serantau dalam tenaga hidrogen, tenaga boleh diperbaharui, perdagangan karbon, serta pembangunan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) berasaskan biojisim alga.
Inisiatif ini turut diperkukuh melalui pengenalan Sarawak Sustainability Blueprint yang menekankan pelan hala tuju strategik jangka panjang untuk peralihan menyeluruh ke arah ekonomi hijau serta Sarawak Energy Transition Policy yang akan membimbing peralihan negeri ke arah masa depan tenaga rendah karbon, selamat dan inklusif.
“Pentadbiran beliau sedang menggerakkan transformasi Sarawak dengan memanfaatkan trend global termasuk digitalisasi, Revolusi Industri 4.0, ekonomi kitaran, serta daya tahan rantaian bekalan.
“Premier Sarawak juga pernah berkongsi visi ekonomi hijau dan sasaran sifar bersih di pelbagai forum antarabangsa di Eropah, Singapura dan Jepun,” kata IHA lagi.
