Kilang IBS sokong penyediaan rumah kediaman beroperasi bulan depan

KUCHING: Kilang Industrial Building Sistem (IBS) bagi menyokong usaha menyediakan rumah kediaman mencukupi kepada rakyat Sarawak akan mula beroperasi Disember ini.

Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kilang IBS terbabit secara usahasama antara Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) dan CTR Technology Sdn Bhd.

“Kilang akan mula beroperasi pada Disember 2023 ini bagi menyokong usaha kerajaan menyediakan rumah kediaman yang mencukupi kepada rakyat Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN ) Sarawak di sini, hari ini.

Awang Tengah berkata, LCDA turut terlibat aktif dalam pembinaan rumah mampu milik dengan mengunakan kaedah IBS selaras hasrat kerajaan untuk memenuhi permintaan tinggi rakyat untuk membeli rumah dengan harga berpatutan.

Selain itu, katanya Kerajaan Sarawak melalui LCDA dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) juga akan meneruskan projek bandar baharu, pekan baharu dan pusat perkhidmatan yang berada dalam pelbagai peringkat perancangan dan pelaksanaan.

Katanya, ini seperti Bandar Baru Simunjan dan Bandar Baru Daro Fasa II, Pekan Baru Kabong, Pusat Perkhidmatan Lingga, Pusat Perkhidmatan Matu, Pusat Perkhidmatan Igan, Pusat Perkhidmatan Matadeng dan Pusat Perkhidmatan Ulu Merapok.

Di samping itu, Kerajaan Sarawak melalui LCDA juga meneruskan pembinaan perumahan, pasar tamu, kedai mampu milik dan industri kotej dalam pembangunan bandar baharu dan pusat khidmat terbabit dengan anggaran kos pelaksanaan berjumlah RM207 juta.