Sambutan Hari Malaysia lambang perpaduan kaum

BINTULU: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi akan bersama-sama dengan rakyat menyambut Perayaan Hari Malaysia Peringkat Sarawak 2025, di sini pada 16 September ini, jam 8 malam.

Sambutan perayaan itu dijangka dihadiri kira-kira 10, 000 orang terdiri daripada penduduk tempatan dan masyarakat sekitar.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka menghadiri perayaan itu yang bertemakan ‘Sarawak Maju Makmur Dalam Malaysia’, bagi meraikan ulang tahun pembentukan Malaysia ke-62.

Sambutan perayaan itu di sini kali ini melambangkan peranan penting Bintulu sebagai cluster perindustrian baharu Sarawak serta simbolik kepada perpaduan rakyat pelbagai kaum, katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana dan Jawatankuasa Induk Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Sarawak Tahun 2025 di Hotel Imperial di sini, hari ini.

Hadir sama,Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) selaku Timbalan Menteri Bertanggungjawab Sambutan Perayaan, Dato Henry Harry Jinep, Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti, serta Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPANS) Datu Hamdan Sharbini.

Beliau yang juga menteri bertanggungjawab terhadap sambutan mempelawa rakyat Sarawak berkunjung ke tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu bagi meraikan sambutan itu.

Menurutnya, sambutan perayaan yang berkonsepkan rakyat itu bermula pada 14 September dengan pelbagai acara rasmi.

Majlis kesyukuran agama-agama lain akan diadakan di Hotel Imperial mulai jam 8 malam pada 14 September manakala majlis kesyukuran akan diadakan di Masjid Asyakirin pada pukul 6 petang, 15 September.

Pada pukul 6 pagi 16 September, acara Malaysia Day Run akan bermula di perkarangan Dewan Suarah Bintulu yang dijangka disertai 3,000 orang.

Perhimpunan itu akan disusuli dengan konsert rakyat yang menampilkan pelbagai persembahan tarian, kebudayaan dan nyanyian daripada penyanyi tempatan dan artis popular dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang turut disiarkan secara langsung melalui saluran TVS, MyTV dan Facebook UKAS dan Youtube, UKAS Channel.