BINTULU: Sambutan Hari Malaysia setiap tahun menjadi peringatan bahawa kekuatan negara lahir daripada kesatuan hati dan kecintaan terhadap tanah air, dengan Sarawak terus unggul sebagai negeri berbilang kaum yang hidup harmoni dalam kepelbagaian.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, pemilihan Bintulu menjadi tuan rumah Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Sarawak 2025, selaras dengan peranan bandar itu sebagai nadi pembangunan strategik negeri, terutama selepas penemuan gas asli dan pembangunan industri Gas Asli Cecair (LNG) yang melonjakkan kemajuan pesatnya sehingga kini.
Rundi selaku Menteri Bertanggungjawab Sambutan perayaan tersebut berkata, pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diterajui Premier Sarawak, Bintulu kini terus berkembang seiring aspirasi negeri dan negara ke arah pembangunan moden.
“Antara mercu tanda baharu ialah Jambatan Tun Taib Mahmud (dahulunya dikenali sebagai Jambatan Bintulu-Jepak) yang dirasmikan pada 23 Julai lalu, sekali gus membuka ruang kepada pembangunan komersial dan perumahan moden di kawasan ini,” katanya dalam ucapan aluan pada Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Sarawak 2025, di Dataran Lapangan Terbang Lama Bintulu, malam ini.
Sambutan turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan-timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, menteri-menteri kabinet, timbalan-timbalan menteri serta dif-dif kenamaan.
Selain itu, katany, Bintulu juga melangkah ke hadapan dalam sektor tenaga dan pengangkutan pintar dengan pembinaan dua loji tenaga gas berkapasiti 500 megawatt, menjadikan jumlah keseluruhan kapasiti tenaga di Bintulu mencecah satu gigawatt menjelang 2035.
Seiring dengan itu, sistem pengangkutan Autonomous Rapid Transit (ART) berteknologi hidrogen turut dirancang di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (13MP), menghubungkan Bintulu, Kidurong dan Samalaju, katanya.
“Kini, Bintulu semakin dikenali di peringkat global apabila World Economic Forum (WEF) mengiktirafnya sebagai salah satu daripada 36 Kluster Perindustrian Peralihan Global, malah satu-satunya di Asia,” ujarnya.
Beliau berkata, pengiktirafan ini meletakkan Bintulu sebagai hab industri rendah karbon yang berjaya menarik minat pelabur dari Jepun, Korea dan Eropah.
“Bagi melengkapi aspirasi ini, Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) turut menandatangani tiga Memorandum Persefahaman (MoU) bersama rakan strategik antarabangsa bagi menyokong agenda Sarawak sebagai hab serantau tenaga hijau dan bahan api lestari.
“Bintulu hari ini bukan sahaja menjadi nadi ekonomi Sarawak, malah simbol Malaysia baharu yang berpaksikan tenaga hijau, teknologi moden serta perpaduan rakyat berbilang kaum,” kata beliau.
