Persatuan bahasa dilancar, perkasakan pembangunan bahasa

KUCHING: Penguasaan bahasa Inggeris perlu diperkukuhkan untuk melahirkan modal insan berkualiti sekali gus menyokong aspirasi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, bagi mengukuhkan penguasaan bahasa Inngeris, Persatuan Bahasa Sarawak akan dilancar sebagai platform memperkasa pembangunan bahasa di negeri ini.

“Penubuhan persatuan bahasa itu bukan hanya memfokuskan bahasa Inggeris, malah juga Bahasa Malaysia serta bahasa-bahasa etnik seperti Iban, Bidayuh dan Melanau,” katanya pada majlis perasmian Sarawak English Literacy Conference (SELC) 2025 di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee.

“Melalui inisiatif ini, Sarawak bukan sahaja dapat melahirkan warganya sebagai warga global yang fasih berbahasa Inggeris, tetapi pada masa sama mengekalkan identiti tempatan melalui bahasa ibunda.

“Pendidikan adalah penyamarata terbesar – jika anda berikan seorang anak bahasa Inggeris, anda memberikannya dunia,” jelasnya.

Katanya, bahasa Inggeris merupakan bahasa utama komunikasi global, perdagangan, sains dan teknologi, dengan lebih 90 peratus jurnal STEM di dunia diterbitkan dalam bahasa tersebut.

“Justeru, penguasaan bahasa Inggeris mesti digandingkan dengan pendidikan STEM bagi melahirkan generasi muda Sarawak yang bersedia menjadi inovator dan pemimpin masa depan,” katanya.