Sarawak giat bangunkan tenaga bersih – Premier

SINGAPURA: Meningkatkan pembangunan tenaga bersih diberikan keutamaan dalam 15 strategi peringkat tertinggi corak pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan tenaga bersih itu amat penting untuk memacu pertumbuhan ekonomi Sarawak pada masa akan datang.

“Sejak tahun lalu, Sarawak memperkenalkan tiga dasar baharu yang menjadi asas menggerakkan pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya dalam ucaptama pada majlis Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura 2025 di sini.

Hadir sama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS) Datuk Ibrahim Baki dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni.

Pergerakan pertumbuhan ekonomi itu ialah Dasar Peralihan Tenaga Sarawak, Hala Tuju Ekonomi Hidrogen Sarawak dan Hala Tuju Kelestarian Sarawak, katanya.

Untuk menjayakan hala tuju itu, katanya, Sarawak akan menyediakan daya tarikan pelaburan melalui pembiayaan pembangunan tersusun, platform pembiayaan hijau dan Sijil Tenaga Dibaharui – mempelawa rakan kongsi dari seluruh dunia untuk turut serta dalam pembangunan tenaga bersih.

Beliau berkata, Sarawak menyasar kapasiti penjanaan tenaga sehingga 10GW menjelang tahun 2030 dengan menerokai kekayaan sumber yang dimiliki Sarawak.

“Ini akan membangunkan tenaga hidro melata di beberapa batang sungai dengan penilaian awal menjana 3GW iaitu satu lagi usaha membangunkan tenaga lestari dan bersepadu,” katanya.

Di samping itu, tambahnya, Sarawak turut memperluaskan kapasiti turbin gas untuk kestabilan bekalan tenaga sejajar dengan Hala Tuju Gas Sarawak.

Beliau berkata, Hidroelektrik Baleh yang beroperasi tidak lama lagi dijangka menghasil 1,285 megawatt tenaga untuk memenuhi permintaan dan mengukuhkan kestabilan grid wilayah.