CHENGDU: Kerajaan Sarawak melangkah ke hadapan dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur apabila delegasi diketuai Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, mengadakan lawatan rasmi ke Chengdu, China, baru-baru ini.
Lawatan tersebut membuka ruang kepada Sarawak untuk mempelajari pendekatan teknikal dan strategi pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar yang dilaksanakan di kawasan berbukit serta bergunung di China.
Delegasi disambut oleh Pengerusi CCCC Southwestern Headquarters, Chen Ning, bersama Pengerusi CCCC International, Shi Yingtao, yang turut berkongsi kepakaran dan inovasi teknologi pembinaan jalan raya serta terowong di wilayah Sichuan.
Menurut Uggah, pengalaman diperoleh melalui lawatan ini menjadi medan penting untuk memahami bagaimana pembangunan infrastruktur dapat disesuaikan dengan cabaran geografi tanpa menjejaskan kelestarian alam sekitar.
“China berjaya mengimbangi kemajuan dengan tanggungjawab terhadap alam. Teknik kejuruteraan yang mereka gunakan menunjukkan bahawa pembangunan boleh berlaku dengan cara yang lestari dan selamat,” katanya.
Beliau menegaskan, hala tuju pembangunan infrastruktur Sarawak akan terus berpaksikan matlamat Pelan Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030, yang mengutamakan kemakmuran ekonomi, kelestarian alam sekitar dan keterangkuman sosial.
“Kita mahu setiap projek yang dilaksanakan bukan sahaja menghubungkan kawasan, tetapi juga meningkatkan taraf hidup dan peluang ekonomi masyarakat di luar bandar,” ujarnya.
Selain lawatan ke tapak projek utama, delegasi juga dijadual mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa Wilayah Sichuan bagi menimba pengalaman dalam aspek perancangan, pelaksanaan dan pengurusan projek infrastruktur.
CCCC bukanlah nama asing di Sarawak, kerana syarikat itu turut terlibat dalam pelaksanaan beberapa projek penting seperti Jambatan Taib Mahmud di Jepak, Bintulu, projek Miri Port Training Bund di Kuala Baram, dan Pusat Konvensyen Kuching (BCCK) 2.
Turut serta dalam lawatan ialah Timbalan Menteri MIPD, Datuk Ir Aidel Lariwoo dan Datuk Majang Renggi; Setiausaha Tetap MIPD, Datu Chiew Chee Yaw; serta Pengarah JKR Sarawak, Datu Ir Dr Cassidy Morris.
