Zon perniagaan khas lebih teratur perlu diwujud di Samariang, Sukma Ria

KUCHING: Zon perniagaan khas yang lebih teratur dan kondusif perlu diwujudkan di bawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

Kemudahan itu bagi memberi keselesaan kepada peniaga kecil di kawasan Samariang dan Sukma Ria khususnya.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, ruang niaga kekal yang selesa, bersih dan tersusun juga memainkan peranan penting untuk menarik kunjungan ramai.

“Kita mahu peniaga kecil di kawasan ini diberikan tempat berniaga yang teratur, bukan sahaja untuk menjana pendapatan tetapi menawarkan persekitaran selesa dan kondusif,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan di Majlis Pelancaran Tamu Desa dan Food Society Sukma Ria serta Hari Bersama Pelanggan DBKU 2025 di Sukma Ria di sini, hari ini.

Perasmian dilakukan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi. Hadir sama, Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman.

Pelancaran semula Tamu Desa dan Food Society Sukma Ria yang berwajah baharu merupakan langkah DBKU memperkukuh ekosistem perniagaan tempatan.

Hasidah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang menjelaskan, transformasi ini bukan sahaja menyerlahkan imej baharu Sukma Ria malah menyediakan platform yang lebih strategik untuk peniaga tempatan memasarkan produk makanan dan hasil tani.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada DBKU atas kerjasama baik dalam pelaksanaan projek pembangunan di kawasan Samariang termasuk pembinaan Dewan Taman Sukma yang kini dalam peringkat akhir penyiapan.