SARIKEI: Sebanyak 90 projek pembangunan di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) sedang dilaksanakan dan dijangka siap menjelang 2028.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh berkata, projek secara keseluruhan bernilai RM1.52 bilion.
Katanya, bagi tahun 2025, sebanyak dua projek berskala kecil bernilai RM5 juta serta RM6 juta di Dalat telah dilaksanakan, manakala enam lagi projek bernilai RM89.2 juta sedang melalui proses tender dan menjelang suku keempat tahun ini, sebanyak 23 projek tambahan bernilai RM498.9 juta akan dikeluarkan tender.
Pengerusi RADDA itu menambah, bagi 2026, sebanyak 26 lagi projek bernilai RM467.73 juta akan melalui proses tender pada suku pertama 2026 manakala 27 lagi projek pada suku kedua bernilai RM366 juta dan pada suku ketiga, tiga projek akan ditender dengan nilai RM37 juta, manakala baki empat projek bernilai RM56 juta akan ditender menjelang 2027.
“Menjelang 2026 hampir kesemua 90 projek di bawah RADDA akan ditender dan ini bermakna sebahagian dari projek tersebut akan disiapkan dalam tempoh 12 hingga 36 bulan dan jika dilaksanakan semuanya dijangka dapat disiapkan menjelang tahun 2028,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Agensi Pembangunan RADDA Bil 2/2025 di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen Bahagian Sarikei hari ini.
Menurut Len Talif lagi, pelaksanaan keseluruhan projek di bawah RADDA berjalan dengan baik walaupun terdapat sedikit kelewatan akibat faktor-faktor di luar kawalan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang itu turut menegaskan bahawa kerjasama erat antara ahli Jawatankuasa Pemandu, wakil rakyat dan agensi pelaksana telah memastikan perjalanan RADDA kekal lancar dan menepati matlamat.
Beliau berharap semua agensi yang terlibat dalam prlaksanaan projek RADDA memainkan peranan bagi memastikan projek-projek tersebut berjalan lancar mengikut jadual serta kos yang telah ditetapkan.
Jelasnya, projek-projek di bawah RADDA memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya, sistem bekalan air bersih, tambatan hakisan sungai serta pembangunan kawasan perindustrian.
Katanya, keberkesanan RADDA dilihat lebih menyeluruh berbanding agensi lain kerana melibatkan pelaksanaan di beberapa bahagian sekaligus, melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri.
Dari segi penglibatan komuniti, beliau menjelaskan bahawa konsep pelaksanaan projek RADDA berasaskan pendekatan ‘bottom-up’, iaitu berdasarkan permohonan dan keperluan rakyat yang dikemukakan melalui wakil rakyat masing-masing.
