Sarawak bakal miliki pusat seni persembahan ikonik

KUCHING: Sarawak dijangka mempunyai sebuah pusat seni persembahan ikonik menjelang akhir 2026 atau awal 2027, yang akan menjadi mercu tanda budaya dan seni negeri.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pusat ini akan menjadi pentas utama untuk memperkenalkan tarian, muzik, seni persembahan dan warisan budaya Sarawak kepada pelancong dan masyarakat tempatan.

“Pembukaan pusat ini akan membolehkan budaya tempatan diperkenalkan secara lebih sistematik kepada pengunjung, sekaligus mengangkat imej Sarawak sebagai negeri yang kaya dengan seni dan warisan budaya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pertandingan Tarian dan Nyanyian Lagu Melayu Asli Peringkat Akhir sempena Festival Kesenian Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam tadi.

Selain itu, beliau mencadangkan agar Festival Kesenian Sarawak dijadikan acara tahunan dalam kalender pelancongan negeri untuk perancangan lebih tersusun dan peluang pengunjung menikmati persembahan dengan lebih baik.

“Harapan saya festival ini dimasukkan dalam kalender pelancongan negeri supaya kita tahu bila ia diadakan setiap tahun,” tambah beliau.