Tun Wan Junaidi dianugerah Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan UNIRAZAK

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor dalam Pengurusan oleh Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) sempena Istiadat Konvokesyen UNIRAZAK Ke-24 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Beliau tiba di WTCKL pada sekita 8.05 pagi yang diiring bersama isterinya, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi serta ahli keluarga.

Sejurus ketibaan, delegasi Tun Pehin Sri disambut oleh Menteri Kerja Raya Malaysia merangkap Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Pro-Canselor UNIRAZAK Dato’ Mohamed Nizam Tun Abdul Razak, Ketua Pegawai Eksekutif UNIRAZAK Amil Izham Hamzah serta dif kenamaan lain.

Dalam ucapan penerimaan anugerah, Tun Pehin Sri menzahirkan rasa syukur dan rendah diri atas penghormatan yang diberikan

Beliau menyifatkan ia bukan sekadar pengiktirafan peribadi, malah sebagai penghargaan terhadap nilai khidmat bakti, integriti serta pencarian ilmu sepanjang hayat yang menjadi teras perjalanan hidup beliau.

Jelasnya, kepimpinan berkesan tidak hanya bersandarkan jawatan, sebaliknya berpaksikan watak dan keperibadian, dengan integriti, empati dan kebijaksanaan sebagai asas kepada kepercayaan rakyat.

Beliau turut menyeru para graduan agar terus berkhidmat kepada masyarakat dan negara dengan penuh keikhlasan, memimpin dengan rendah hati serta memanfaatkan ilmu sebagai alat membina negara yang lebih adil, berdaya saing dan berteraskan nilai murni.

Pada masa sama, beliau juga merakamkan ucapan tahniah kepada para graduan UNIRAZAK bagi tahun 2025 yang disifatkan sebagai cerminan tema konvokesyen, ‘Breaking Through’ melambangkan ketabahan, disiplin dan keazaman tinggi dalam mengharungi cabaran peribadi serta perubahan global.

Di akhir ucapannya, Tun Pehin Sri menzahirkan penghargaan kepada UNIRAZAK sebagai institusi pendidikan yang komited memperkasa pembelajaran inklusif, khususnya kepada individu yang melalui laluan pendidikan tidak konvensional serta mengangkat konsep pembelajaran sepanjang hayat sebagai pemangkin kemajuan insan dan negara. – UKAS