Pemilik tanah tamat tempoh boleh mohon sukat tanah

BETONG: Pemilik asal tanah yang telah tamat tempoh atau ‘Jobilee Occupation Ticket’ (JoT) boleh memohon kepada Jabatan Tanah dan Survei (JTS) untuk membuat sukatan secara percuma termasuk pembayaran premium.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mendedahkan perkara ini yang telah dipersetujui Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Ia merupakan kaedah untuk membantu pemilik asal tanah atau waris untuk mengemaskini nama pemilik tanah tersebut.

Katanya, meskipun nama asal pemilik ini tidak lagi terikat dengan tempoh pemilikan tanah, pemilik ini akan mewarisi tanah tersebut tanpa tamat tempoh.

“Jauh sama sekali apa yang difitnah orang sebelum ini bahawa Kerajaan Sarawak ingin merampas tanah rakyat, namun apa yang sedang diusahakan sebenarnya ialah untuk mempermudahkan proses pemilikan tanah kepada rakyat itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah Bagi Projek Jalan Baru dari Rumah Panjang Maja Ke Penurin dan Jalan Akses dari Jambu Krampak ke Rantau Layang di sini, hari ini.

Katanya, segala pembangunan yang dirancang yang melibatkan hak milik akan dibayar pampasan melalui prosedur yang ditetapkan JTS.

“Inilah usaha kerajaan negeri sebelum ini yang ingin membantu rakyat di Sarawak untuk mendapatkan hak pemilikan tanah individu melalui Seksyen 6 dan seterusnya digazetkan di bawah Seksyen 18,” tambah Menteri Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan itu lagi.

Beliau memberitahu, peruntukan sebanyak RM1.8 juta bagi tujuan penyelenggaraan dan baik pulih Pejabat Residen Bahagian Betong serta RM200,000 untuk Pejabat Daerah Betong bagi tujuan sama turut diluluskan yang akan dilaksanakan di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).

Beliau menyerahkan cek pampasan tanah bagi Projek Jalan Baru dari Rumah Panjang Maja ke Penurin dengan Jajaran projek ialah 5.2 kilometer (KM) melalui 43 Lot.

Jumlah cek pampasan yang dikeluarkan adalah sebanyak 57 dengan 40 orang penerima membawa jumlah keseluruhan pampasan untuk projek jalan baru ini adalah sebanyak RM2,890,321.20.

Selain itu, beliau turut menyerahkan cek pampasan tanah bagi Projek Jalan Akses dari Jambu Krampak ke Rantau Layang, Betong dengan jumlah jajaran projek ialah 3.6KM melalui 21 lot tanah.

Sebanyak 24 cek pampasan dikeluarkan dengan 19 orang penerima membawa jumlah keseluruhan bagi projek ini ialah sebanyak RM280,692.45.

Turut hadir Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu, Ahli Parlimen Betong Dr. Richard Rapu.