Rakyat diajak kekalkan keharmonian, perpaduan

KUCHING: Masyarakat berbilang kaum diingat agar terus mengekalkan keharmonian dan perpaduan yang sedia ada.

Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, elemen itu penting bagi membolehkan Kerajaan Sarawak menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pembangunan yang lebih lestari untuk negeri ini.

“Dalam tahun naga ini, kita harap bahawa keadaan kita lebih makmur, ekonomi kita lebih mampan dan masyarakat berbilang kaum, berbilang agama sentiasa mengamalkan hidup bersatu padu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2024 Peringkat Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.

Sehubungan itu, Abang Johari berharap ekonomi Sarawak akan lebih mampan dan keadaan masyarakat bandar dan luar bandar terus dibela dengan kekuatan yang ada pada negeri ini.

Sambil mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina, Abang Johari berharap masyarakat yang bersatu padu ini akan dapat menumpukan usaha kepada pembangunan lebih bestari untuk negeri Sarawak.

Hadir sama Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato’ Sri Prof Dr Sim Kui Hian, menteri-menteri serta timbalan-timbalan menteri persekutuan dan negeri.