KUCHING: Program Subsidi Tambang Bas Kadar Rata RM1 di Sarawak bakal dikaji semula bagi meningkatkan keberkesanan kemudahan pengangkutan awam di negeri ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, ia susulan Kerajaan Sarawak memutuskan untuk mengkaji semula pelaksanaan program subsidi dengan operasi bas melibatkan laluan dihadkan tidak melebihi 40 kilometer (km).
“Pada 26 Disember lalu, kesemua 11 syarikat bas henti-henti yang beroperasi di Kuching, Sibu, Sarikei, Miri dan Bintulu telah diminta untuk memaklumkan model baharu bagi program subsidi yang diluluskan dan dipersetujui.
“Butiran laluan dan jadual bas henti-henti telah dibentangkan kepada syarikat bas untuk pengesahan mereka dan program baharu ini akan bermula pada 1 Januari 2024,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, program subsidi ini akan dilaksanakan dengan kerjasama bersama-sama Syarikat Bas Persiaran hingga 2025.
Katanya, Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pengangkutan Sarawak memulakan Program Subsidi Tambang Bas Sebanyak RM1 pada Mei 2020.
“Program ini memberi manfaat kepada rakyat khususnya kumpulan B40 sejak pelaksanaannya Mei 2020 apabila bilangan penumpang meningkat sebanyak 75 peratus dari 2021 sehingga 2023.
“Jumlah penumpang meningkat dengan mendadak daripada 209,055 sebulan pada 2021 kepada 364,725 sebulan (2023).
“Kadar caj RM1 yang dikenakan kepada pengguna amat berpatutan terutamanya mengambil kira keadaan ekonomi yang mencabar pada masa kini,” katanya.