KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) memberikan Bantuan Warga Emas sebanyak RM13.413 juta bagi seluruh Sarawak, setakat Februari 2026.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, bantuan terbabit berjumlah RM600.
“Sebanyak 22,355 kes merupakan penerima Bantuan Warga Emas (di Sarawak) yang berjumlah RM600,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Program Senior Citizen – We CARE For You di Dewan Serbaguna Taman Sukma di sini, hari ini.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi turut hadir.
Fatimah berkata, melalui Kerajaan Sarawak pula warga emas ditawarkan potongan harga dan perkhidmatan melalui penggunaan Kenyalang Gold Card (KGC).
Katanya, ini dengan kerjasama seramai 1,180 rakan strategik KGC terdiri dari syarikat swasta dan pusat komersial berdaftar di Sarawak dengan sebanyak 374,566 kad itu diagihkan setakat Februari lalu.
