MA63: 10 tuntutan asas berjaya diselesai

KUALA LUMPUR: Sebanyak 10 perkara atau tuntutan asas Sarawak dan Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diselesaikan sepenuhnya.

Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, sebanyak satu perkara itu selesai sebahagian atau interim, tiga perkara telah mempunyai keputusan dasar dan 15 perkara masih dalam perbincangan.

“Kerajaan Persekutuan juga akan terus komited memastikan perkara-perkara yang termaktub dalam MA63 diselesaikan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan kerangka undang-undang sedia ada,” katanya dalam Pengulungan Perbahasan Ke Atas Titah Diraja Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di Parlimen, di sini.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air mendedahkan 10 perkara atau tuntutan asas yang selesai sepenuhnya ialah:
a) Penyerahan kuasa kawal selia LPG kepada Kerajaan Negeri Sarawak,

b) Penyerahan semula kuasa pentadbiran ke atas Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada Kerajaan Sabah;

c) Pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) dan Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan;

d) Pemberian kuasa (empowerment) mengenai pelesenan dan penangkapan ikan laut dalam kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak;

e) Pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sabah dan Negeri Sarawak sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182 (AP182);

f) Pindaan Akta LHDN 1995 bagi melantik Wakil Kerajaan Negeri Sabah Dan Sarawak Sebagai Anggota Tetap Lembaga Hasil Dalam Negeri;

g) Penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas di Negeri Sabah

h) Pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak;

i) Penyediaan Garis Panduan Penyerahan Semula Tanah Direzabkan bagi maksud Persekutuan di Negeri Sabah dan Negeri Sarawak; dan

j) Penyerahan Kuasa Kawal Selia Elektrik kepada Kerajaan Negeri Sabah.