KUCHING: Pelaksanaan Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) memberi manfaat kepada penduduk di kawasan Telaga Air di sini khususnya meningkatkan kemudahan asas seperti jalan, sistem saliran dan bekalan air.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, projek-projek tersebut adalah hasil permohonan daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang disalurkan kepada pihak berkaitan sebelum diluluskan dan dilaksanakan.
“Pendekatan itu memastikan setiap projek yang dilaksanakan benar-benar memenuhi keperluan sebenar penduduk di peringkat akar umbi, di samping meningkatkan keberkesanan penyampaian pembangunan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Zon Telaga Air serta menyempurnakan penyerahan beberapa projek pembangunan untuk kemudahan penduduk semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai turut menegaskan bahawa pelaksanaan projek secara berterusan akan membantu meningkatkan keselesaan penduduk serta mengurangkan isu seperti banjir kilat dan masalah akses di kawasan kampung.
Lawatan dimulakan dengan penyerahan projek parkir awam di Kampung Telaga Air sebelum meninjau tapak projek jalan menuju ke Pantai Trombol yang dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Padawan (MPP).
Beliau turut melawat projek pemasangan paip air di Kampung Jaya Bakti di bawah seliaan Sarawak Water bagi meningkatkan bekalan air kepada penduduk setempat.
Pada sebelah petang, beliau menyempurnakan penyerahan projek naik taraf sistem perparitan serta jalan di Kampung Selang Ulu, selain meninjau projek baik pulih Dewan Serbaguna di Kampung Selang Laut yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
Lawatan diteruskan dengan penyerahan projek naik taraf jalan di Kampung Temedak serta tinjauan projek naik taraf sistem perparitan di Kampung Temenggong yang dikendalikan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (DID).
