2,126 penerima bantuan kebajikan Serian terima sumbangan Hari Gawai

TEBEDU: Seramai 2,126 penerima bantuan kebajikan di Bahagian Serian menerima sumbangan sempena sambutan Hari Gawai tahun ini.

Sumbangan itu disampaikan menerusi Majlis Sejambak Kasih anjuran Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Serian.

Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, daripada jumlah itu, seramai 100 penerima hadir ke majlis berkenaan untuk menerima sumbangan wang tunai RM100 serta hamper bernilai RM80.

Beliau berkata, baki 2,126 penerima lain akan menerima bantuan yang dikreditkan terus ke akaun masing-masing bagi memudahkan urusan penyaluran bantuan.

Menurut beliau, berdasarkan rekod terkini Bantuan Bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak bagi tempoh Januari hingga Mac 2026, sebanyak 56,295 kes direkodkan melibatkan peruntukan RM75.58 juta.

Katanya lagi, Bahagian Serian sahaja merekodkan 2,806 kes penerima bantuan bulanan kebajikan sehingga April 2026 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.19 juta.

Rekod tersebut katanya, membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak serta JKM Sarawak dalam memperluaskan jaringan bantuan sosial kepada rakyat.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada serta ketua-ketua jabatan.