Sarawak kekal stabil hadapi cabaran global

KUCHING: Dunia kini berdepan pelbagai cabaran global termasuk ketegangan geopolitik, perubahan ekonomi dunia dan konflik antarabangsa.

Situasi tersebut sedikit sebanyak memberi kesan kepada kestabilan pasaran serta rantaian bekalan global.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kesan ketidaktentuan tersebut turut dirasai rakyat melalui peningkatan kos sara hidup, harga makanan, kos pengangkutan serta tekanan terhadap ekonomi isi rumah.

“Walaupun banyak negara berdepan cabaran ekonomi yang semakin kompleks, Sarawak masih mampu mengekalkan kestabilan ekonomi,” katanya semasa pembukaan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di DUN Sarawak hari ini.

Pengekalan berkenaan adalah hasil pengurusan kewangan yang berhemah, dasar pembangunan yang jelas serta pentadbiran yang cekap yang dilaksanakan oleh pucuk pimpinan Kerajaan Negeri.

Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, turut melaksanakan pelbagai langkah proaktif bagi membantu mengurangkan beban rakyat menerusi bantuan dan inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Dalam menghadapi cabaran global yang berterusan, beliau turut menggesa agar semua pihak terus memperkukuh kerjasama, meningkatkan produktiviti dan mempercepat usaha pembangunan ekonomi supaya lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan.

“Pada masa sama, kesejahteraan rakyat perlu terus menjadi keutamaan agar tiada golongan tercicir daripada arus pembangunan negeri,” katanya.