Gawai Dayak dirai, cerminkan semangat kebersamaan dan kepelbagaian kaum

LAWAS: Gawai Dayak antara perayaan utama masyarakat di Sarawak yang mencerminkan semangat kebersamaan dalam kepelbagaian, sekali gus menjadi kekuatan utama rakyat negeri ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, setiap perayaan di Sarawak diraikan bersama tanpa mengira latar belakang kaum, agama mahupun budaya.

Menurut beliau, keunikan tersebut jelas apabila perayaan seperti Gawai Dayak turut disambut pelbagai kaum, sama seperti Pesta Kaamatan di Sabah.

“Kita di Sarawak meraikan perayaan bersama-sama. Gawai bukan sahaja disambut oleh masyarakat Dayak, tetapi turut diraikan oleh semua kaum walaupun berbeza agama, budaya dan latar belakang.

“Inilah keunikan kita yang membawa kepada semangat kebersamaan dalam kepelbagaian, sekali gus memperkukuhkan persefahaman dalam kalangan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis pra-Gawai Ngancau Tikai Daerah Lawas 2026 di Rumah Panjang Ajan Renang, malam tadi.

Dalam pada itu, Awang Tengah mengingatkan rakyat agar sentiasa berwaspada terhadap sebarang fitnah dan provokasi yang boleh menggugat perpaduan masyarakat majmuk di negeri ini.

Beliau turut menegaskan bahawa rakyat Sarawak tidak seharusnya terikut-ikut dengan budaya politik yang berlebihan seperti yang berlaku di wilayah lain.

Sebaliknya, beliau menggesa agar rakyat terus mengekalkan perpaduan dan keharmonian demi bersama-sama membangunkan Sarawak.

“Pendidikan dan kemahiran amat penting supaya rakyat dapat bergerak seiring dengan kerajaan dalam usaha memajukan negeri ini demi kesejahteraan bersama,” ujarnya.