PADAWAN: Program Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang menjadi inisiatif Kerajaan Sarawak akan terus dilaksanakan secara percuma dan tanpa bayaran premium atau cukai tanah.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan juga memberi jaminan program itu memberi pegangan hak milik kekal tanah kepada pemilik dan pengukuran tanah hanya dilaksanakan prosesnya selepas permohonan dibuat serta disahkan mengikut perundangan.
“Manakala kes (tanah NCR) yang masih dalam pertikaian tidak akan diproses sehingga diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 bagi kawasan DUN Mambong di Barei Persatuan Biperoh, di, sini, hari ini.
Dalam majlis tersebut, kawasan seluas 1,440.3 hektar di Mambong telah diwartakan, sekali gus memberi pengiktirafan rasmi terhadap tanah NCR di kawasan berkenaan.
Manakala, sebanyak 684 lot tanah melibatkan 517 penerima dari tiga kampung iaitu Kampung Giit, Kampung Nyiru Grait dan Kampung Emperoh Garung telah menerima surat hak milik masing-masing.
