Sejambak Kasih bukti keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap kebajikan rakyat

DEBAK: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak membantu golongan memerlukan menerusi pelaksanaan program Sejambak Kasih yang dilaksanakan lebih 20 tahun di seluruh negeri.

Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, program itu melibatkan pemberian wang sumbangan RM100 serta hamper bernilai RM80 kepada penerima bantuan.

Menurut beliau, program tersebut bukan sahaja diadakan sempena Hari Gawai, malah Tahun Baharu Cina dan Hari Raya.

Katanya, pelaksanaan program di semua 12 bahagian di Sarawak membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan setiap lapisan masyarakat menerima manfaat daripada inisiatif kebajikan itu.

“Program ini membuktikan keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap kebajikan rakyat tanpa mengira umur, agama, bangsa dan latar belakang,” katanya ketika berucap pada Majlis Sejambak Kasih Gawai Dayak 2026 di Rumah Makos, Lubok Debak, kelmarin.

Mohammad Razi menjelaskan, sehingga April 2026, seramai 5,274 penerima bantuan bulanan di bawah Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Betong menerima manfaat pelbagai skim bantuan dengan implikasi kewangan mencecah RM2.39 juta sebulan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu.