KUCHING: Penglibatan aktif golongan muda berusia bawah 40 tahun dalam program keagamaan, khususnya di kawasan taman perumahan, mendapat pujian Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol.
Beliau menyifatkan semangat gotong-royong yang ditunjukkan generasi muda dalam mengurus dan menjayakan aktiviti di Surau Wakaf Taman Indah (SWTI), Bandar Baru Samariang sebagai sesuatu yang membanggakan.
“Ini menunjukkan minat generasi muda terhadap aktiviti surau dan masjid semakin meningkat.
“Perkembangan ini amat positif, terutama di kawasan pinggir bandar seperti Bandar Baru Samariang, kerana anak muda memainkan peranan penting dalam menghidupkan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada majlis perasmian Program Ibadah Korban dan Akikah di Surau Wakaf Taman Indah (SWTI), hari ini.
Menurutnya, kebanyakan ahli jawatankuasa, termasuk imam dan bilal di surau tersebut, terdiri daripada individu berusia bawah 40 tahun.
Dalam majlis berkenaan, sebanyak 35 ekor lembu korban berjaya disediakan hasil sumbangan penduduk serta jemaah setempat, yang disifatkan antara jumlah terbesar pernah dicapai oleh sebuah surau.
Sementara itu, Pengerusi SWTI, Yahya Saruji berkata, pencapaian tahun ini melepasi sasaran berbanding tahun lalu.
“Sebanyak 90 peratus lembu korban adalah sumbangan peserta sendiri, manakala 70 peratus daripadanya disumbang oleh penduduk setempat.
“Peserta membuat bayaran secara bulanan selama sembilan hingga 10 bulan bagi mengelakkan beban kewangan,” jelasnya.
Menurutnya, jumlah lembu korban meningkat daripada 33 ekor tahun lalu kepada 35 ekor tahun ini, sekali gus membuktikan sambutan menggalakkan daripada masyarakat.
Tambah beliau, majoriti peserta turut bergotong-royong dalam proses penyembelihan, melapah serta pengagihan daging kepada golongan sasaran.
Bagi hari pertama Aidiladha, sebanyak 20 ekor lembu disembelih, manakala baki 15 ekor akan disempurnakan pada Sabtu ini.
Kira-kira 10 ahli jawatankuasa dan 100 sukarelawan terlibat dalam menjayakan program tersebut.
Turut hadir Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan; Mufti Negeri Sarawak, Datuk Khalidi Ibrahim; serta Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Ustaz Mual Suaud.
