KUCHING: Kerajaan membuka tender projek Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (Battery Energy Storage System – BESS) yang penting bagi penggunaan tenaga solar termasuk di Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata ini kerana penggunaan tenaga solar yang semakin meluas memerlukan sistem sokongan BESS bagi memastikan kestabilan grid elektrik.
“Beberapa projek akan dilaksanakan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, termasuk di kawasan pantai timur dan lokasi lain yang dikenal pasti melalui proses tender,” katanya.
Fadillah berkata demikian selepas menghadiri Program Ibadah Korban di Surau Darul Ehsan Kampung Sinjan yang menumbangkan seekor lembu bagi diberi kepada seramai 20 penerima, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, menjelaskan tenaga solar bergantung kepada cahaya matahari yang penghasilannya tidak konsisten dan tanpa sistem penyimpanan, ia boleh menjejaskan kestabilan grid dan berisiko menyebabkan gangguan bekalan elektrik.
Menurutnya dengan adanya sistem bateri, tenaga boleh disimpan dan digunakan mengikut keperluan, bekalan elektrik menjadi lebih stabil dan risiko gangguan grid dapat dikurangkan.
Sementara itu, Pusat Khidmat P.194 Petra Jaya menyumbang sebanyak 63 ekor lembu untuk surau-surau, masjid- masjid, kelab jabatan kerajaan negeri dan persekutuan serta Badan Bukan Kerajaan (NGO).
