Nilai kerjasama diperkukuh melalui program ibadah korban

DARO: Semangat gotong-royong, kerjasama dan perpaduan masyarakat diperkukuhkan dalam usaha mengekalkan keharmonian masyarakat.

Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, nilai-nilai itu merupakan asas penting membentuk masyarakat bersatu padu dan saling membantu.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ibadah Korban Surau Darul Makmur Kampung Itol di Surau Darul Makmur, semalam.

Ahmad Johnie turut memuji komitmen penduduk Kampung Itol yang sentiasa berganding bahu menjayakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan demi kesejahteraan bersama.

Pada majlis tersebut, beliau turut memberi maklum balas positif terhadap hasrat yang dikemukakan oleh Pengerusi Surau Darul Makmur berhubung keperluan kerja-kerja baik pulih bumbung surau yang semakin uzur.

Menurut beliau, perkara tersebut akan diteliti bagi memastikan kemudahan surau berkenaan dapat terus digunakan dengan selesa dan selamat oleh penduduk setempat.

Program anjuran Jawatankuasa Pengurusan Surau Darul Makmur itu menyaksikan dua ekor lembu dikorbankan hasil sumbangan peserta program korban serta bantuan daripada Lembaga Kebajikan Melayu Daro.

Aktiviti bermula seawal jam 6.30 pagi dengan penyembelihan lembu korban secara gotong-royong yang melibatkan penduduk kampung sebelum diteruskan dengan kerja-kerja melapah, membungkus dan mengagihkan daging korban kepada penerima yang layak.

Majlis dihadiri kira-kira 200 penduduk itu berakhir dalam suasana penuh muhibah dan kesyukuran, sekali gus mencerminkan penghayatan terhadap nilai pengorbanan serta kebersamaan yang menjadi teras sambutan Aidiladha.