SEOUL: Kerajaan Sarawak mahu lebih ramai anak-anak tempatan dan syarikat diberi peluang menyertai industri berteknologi tinggi yang semakin berkembang di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia sejajar dengan agenda pembangunan ekonomi berasaskan inovasi dan nilai tinggi.
Beliau menyarankan OCI Holdings Ltd. agar terus mengutamakan penglibatan tenaga kerja serta kandungan tempatan dalam operasi dan pengembangan pelaburannya di Sarawak.
Beliau berkata demikian ketika mengetuai delegasi Sarawak dalam lawatan kerja ke ibu pejabat OCI Holdings di Seoul pada Jumaat, sebagai sebahagian usaha memperkukuh hubungan pelaburan dan kerjasama ekonomi antara Sarawak dan Republik Korea.
Ketika ini, operasi OCI TerraSus di Taman Perindustrian Samalaju menggaji kira-kira 1,100 pekerja dengan sekitar 90 peratus daripadanya merupakan rakyat Sarawak.
OCI turut melaksanakan pelbagai program pembangunan bakat termasuk latihan profesional serta pendedahan antarabangsa di Korea Selatan dan Jepun bagi meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan.
Dalam kenyataan sama, keyakinan berterusan OCI terhadap ekosistem perindustrian Sarawak turut diterjemahkan menerusi pengembangan pelaburan melalui kerjasama strategik dengan Kumho P&B Chemicals Inc. menerusi OCIKumho dan Tokuyama Corporation melalui OTSM.
Kerjasama tersebut diyakini mampu memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab pembuatan berteknologi tinggi dan ekonomi mampan di rantau ini.
Awang Tengah turut menyatakan keyakinan terhadap komitmen jangka panjang OCI di Sarawak serta menegaskan kerajaan negeri akan terus mengekalkan dasar mesra pelabur dan pendekatan proaktif dalam memudah cara pelaburan strategik demi manfaat ekonomi negeri dan rakyat.
