PAC Negeri turun padang lihat projek, atasi kelemahan

KUCHING: Jawatankuasa Akaun Awam (PAC) Negeri memutuskan untuk turun padang dan melihat sendiri secara fizikal projek tertentu di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Akaun Awam (PAC) Negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor berkata berdasarkan penemuan audit, terdapat beberapa kelemahan dalam pengurusan dan pelaksanaan beberapa projek.

Oleh itu, katanya sesetengah agensi perlu membuat semakan semula sama ada dari sudut pentadbiran, kewangan atau prosedur operasinya.

“PAC Negeri juga memutuskan turun padang dan melihat sendiri secara fizikal projek tertentu,” katanya dalam kenyataan berhubung Mesyuarat Jawatankuasa Akaun Awam (PAC) Negeri Sarawak Ke-56 pada 19 hingga 20 Mac 2024.

Razaili berkata, ini bagi mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan masalah dan kelemahan projek sekaligus melihat langkah-langkah yang telah dilaksanakan bagi mengatasi masalah tersebut.

Ahli-Ahli PAC yang turut hadir semasa mesyuarat ialah ADUN Batu Lintang, See Chee How, ADUN Pelagus, Wilson Nyabong Ijang, ADUN Serembu, Miro Simuh, ADUN Kabong, Mohd Chee Kadir, ADUN Batu Kitang, Dato Lo Khere Chiang, ADUN Meluan, Rolland Duat Jubin.