Geran MRP manfaatkan 33 penerima di Daro

DARO: Seramai 33 penerima menerima Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Daro berjumlah RM157,000 bagi menyokong pelaksanaan program pendidikan awal kanak-kanak dan aktiviti kemasyarakatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr. Safiee Ahmad berkata, daripada jumlah itu, 26 penerima terdiri daripada Tadika KEMAS di kawasan DUN Daro, manakala tujuh lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, sumbangan kepada Tadika KEMAS diteruskan setiap tahun sebagai usaha memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak yang menjadi asas kepada pembangunan modal insan.

“Setiap tahun sumbangan disalurkan kepada pelbagai pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Pada kali ini, tumpuan turut diberikan kepada Tadika KEMAS kerana institusi ini memainkan peranan penting dalam membentuk pendidikan anak-anak pada peringkat awal.

“Sumbangan ini diharap dapat membantu tadika melaksanakan aktiviti pendidikan serta program keibubapaan bagi memberi bimbingan dan dorongan kepada ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata, pendidikan awal merupakan asas penting yang menentukan kelancaran perjalanan pendidikan seseorang anak sehingga ke peringkat pengajian tinggi.

“Pembangunan sesebuah masyarakat bergantung kepada pendidikan. Jika asas pendidikan di peringkat tadika kukuh, perjalanan pendidikan anak-anak akan menjadi lebih baik sehingga ke universiti,” katanya.

Dr. Safiee sehubungan itu, berharap penerima menggunakan dana yang disalurkan secara berhemah bagi melaksanakan program yang dirancang serta mengemukakan laporan pelaksanaan dan penyata penggunaan dana kepada Pusat Khidmat DUN Daro untuk tujuan pemantauan.

Terdahulu, Dr Safiee menyempurnakan majlis penyerahan geran tersebut di Masjid Al-Muhsinin, petang semalam.