SEBUYAU: Jambatan Batang Lupar I yang dirasmikan hari ini menjadi bukti keupayaan Sarawak melaksanakan projek infrastruktur berskala besar menerusi kekuatan kewangan dan kepakaran tempatan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, jambatan berkenaan bukan sahaja meningkatkan hubungan darat antara kawasan luar bandar malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi rakyat.
“Hari ini merupakan satu detik yang bersejarah dalam pembangunan infrastruktur daratan Sarawak. Jambatan ini akan memberi manfaat besar kepada rakyat, sama ada yang tinggal di kampung, rumah panjang mahupun pekan, sekali gus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jambatan Batang Lupar I, di sini, hari ini.
Menurutnya, pembangunan infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan penting bagi memastikan hasil pengeluaran masyarakat luar bandar dapat dipasarkan dengan lebih mudah serta membuka peluang ekonomi baharu.
Abang Johari berkata, pembinaan Jambatan Batang Lupar I diteruskan oleh Kerajaan Sarawak selepas projek tersebut dibatalkan pada peringkat Persekutuan, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memenuhi keperluan rakyat.
Beliau menjelaskan, keputusan meneruskan projek berkenaan dibuat berdasarkan permintaan rakyat yang memerlukan kemudahan perhubungan lebih baik antara Sri Aman, Betong dan Kuching.
“Kita meneruskan pembinaan Jambatan Batang Lupar I menggunakan dana negeri tanpa bergantung kepada Kerajaan Persekutuan. Bukan sahaja Jambatan Batang Lupar I berjaya diteruskan, malah kita turut membina Jambatan Batang Lupar II menggunakan dana Sarawak sendiri,” tegas beliau.
Premier Sarawak berkata, kejayaan menyiapkan projek berkenaan turut membuktikan kemampuan jurutera Sarawak melaksanakan projek kompleks mengikut piawaian tinggi.
Menurutnya, dengan infrastruktur bertaraf dunia serta kestabilan ekonomi, Sarawak berpotensi menjadi ekonomi berorientasikan eksport yang mampu menembusi pasaran serantau.
Beliau turut menegaskan perpaduan rakyat Sarawak menjadi asas utama kejayaan pembangunan negeri selain memastikan kesinambungan agenda kemajuan dapat diteruskan oleh generasi kepimpinan akan datang.
Hadir sama Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Pengarah JKR Sarawak, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Dr Cassidy Morris serta tetamu kenamaan lain.
