SEBUYAU: Jambatan Batang Lupar 1 melakar sejarah apabila secara rasmi diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai jambatan merentasi sungai terpanjang di Malaysia, sekali gus menjadi mercu tanda baharu kejuruteraan negara dan kebanggaan rakyat Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pengiktirafan itu merupakan detik bersejarah yang membuktikan kemampuan Sarawak merealisasikan projek infrastruktur mega menggunakan dana negeri sendiri.
“Kita berbangga, kerana pada hari yang bersejarah ini, sijil daripada Malaysia Book of Records memperakui bahawa Jambatan Batang Lupar 1 ialah jambatan merentasi sungai yang terpanjang di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jambatan Batang Lupar 1 yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, hari ini.
Menurut Uggah, jambatan berkenaan bukan sekadar menghubungkan dua tebing Sungai Batang Lupar, malah menjadi lambang kejayaan kepimpinan Sarawak yang berteraskan visi jelas, keberanian membuat keputusan serta komitmen tinggi dalam membangunkan seluruh wilayah.
Katanya, selama puluhan tahun penduduk di kawasan itu bergantung kepada perkhidmatan feri untuk menyeberangi Batang Lupar, sekali gus menyebabkan masa perjalanan lebih panjang serta mengehadkan aktiviti ekonomi.
“Hari ini semuanya berubah. Jambatan ini membuka lembaran baharu kepada pembangunan pesisir Sarawak dengan mempercepat perjalanan, mengurangkan kos logistik, merangsang pelaburan, memajukan sektor pelancongan serta memudahkan rakyat mendapatkan pendidikan, rawatan kesihatan dan peluang pekerjaan,” katanya.
Jambatan Batang Lupar 1 dibina dengan kos kontrak RM848.745 juta oleh Perbena Emas Sdn Bhd dan mempunyai panjang keseluruhan 4.844 kilometer (km) menjadikannya jambatan merentasi sungai terpanjang di negara ini.
Infrastruktur itu dibina mengikut piawaian JKR R5 dengan dua lorong satu hala, merentasi Batang Lupar melalui 87 pier sungai. Ia turut menampilkan rentang utama kabel pancang sepanjang 598.8 meter (m), saluran navigasi selebar 250 meter dengan ketinggian 26 meter serta menara pylon setinggi 111.5 meter.
Uggah berkata, pembinaan jambatan berkenaan merupakan antara projek kejuruteraan paling mencabar di Malaysia berikutan lokasinya di kawasan muara yang mempunyai arus deras, ombak kuat serta keadaan geologi yang kompleks.
Beliau berkata, projek itu menggunakan gantri pelancaran galang terbesar di Malaysia selain tongkang cerucuk setinggi 108 meter, iaitu yang tertinggi pernah digunakan di negara ini, bagi membolehkan cerucuk berdiameter 2.5 meter dipasang sehingga kedalaman 95 meter.
Katanya, walaupun berdepan cabaran teknikal termasuk aliran sungai yang dipengaruhi Pulau Triso, projek berkenaan berjaya disiapkan tanpa menjejaskan ekosistem kawasan itu, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan mampan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan pihak kontraktor atas kejayaan menyiapkan projek yang kini menjadi mercu tanda baharu negara.
Dalam pada itu, Douglas berkata kerajaan negeri sedang giat melaksanakan Projek pembinaan Jalan Utama Kedua Sarawak (SSTR) dan Coastal Road (CSTR), termasuk lapan pakej jalan raya bernilai RM3.21 bilion yang akan melengkapkan rangkaian jalan di sekitar Jambatan Batang Lupar 1.
Apabila keseluruhan rangkaian itu siap kelak, perjalanan dari Kuching ke Sibu akan dipendekkan kepada hanya 252 kilometer berbanding 396 kilometer melalui Lebuh Raya Pan Borneo ketika ini.
Beliau berkata, secara keseluruhannya Sarawak sedang membina 21 jambatan mega bernilai RM6.4 bilion menggunakan dana negeri sendiri sebagai sebahagian usaha memperkukuh jaringan infrastruktur dan mempercepat pembangunan wilayah.
Uggah menegaskan, kejayaan jambatan berkenaan membuktikan pelaburan dalam infrastruktur bukan sahaja mengubah landskap pembangunan Sarawak, malah menjadi simbol keupayaan negeri itu melaksanakan projek bertaraf dunia yang memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat.
