Sarawak teliti perluas akses perkhidmatan pergigian ke pedalaman

KUCHING: Sarawak bercadang mengintegrasikan perkhidmatan kesihatan pergigian dengan Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) bagi memastikan penduduk di kawasan sukar diakses menerima rawatan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Hanifah Hajar Taib berkata, inisiatif itu merupakan usaha kerajaan memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan kesihatan pergigian supaya lebih inklusif dan menyeluruh, khususnya masyarakat di luar bandar dan pedalaman.

“Kita mahu memastikan tidak ada masyarakat di pedalaman tercicir menerima perkhidmatan kesihatan pergigian. Sebab itu, kita sedang meneliti kaedah penyampaian yang lebih berkesan, termasuk kemungkinan memanfaatkan Perkhidmatan Doktor Udara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Peluncuran Minggu Promosi Kesihatan Pergigian 2026 Peringkat Sarawak di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) hari ini.

Menurut Hanifah, Sarawak kini mempunyai 53 fasiliti perkhidmatan pergigian tetap, selain disokong oleh lapan klinik pergigian bergerak yang menyediakan perkhidmatan di kawasan luar bandar melalui rangkaian jalan darat.

Bagi penempatan yang tidak mempunyai akses jalan raya, sebanyak 127 pasukan pergigian bergerak digerakkan menggunakan kenderaan pacuan empat roda, van dan bot bagi menjalankan pemeriksaan serta rawatan pergigian kepada penduduk.

Dalam perkembangan sama, Hanifah berkata sektor kesihatan masih memerlukan pertambahan tenaga kerja, termasuk doktor pergigian, pakar, jururawat dan kakitangan sokongan, bagi memperkukuh kapasiti penyampaian perkhidmatan kesihatan di seluruh negeri.

“Kita masih memerlukan lebih ramai doktor pergigian, pakar, jururawat serta kakitangan sokongan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan dapat diperkukuh, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.

Katanya, perkara itu akan terus dibincangkan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi meneliti keperluan penambahan doktor pergigian, pakar, jururawat dan kakitangan sokongan dalam usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan di Sarawak.

Turut hadir, Datuk Bandar MBKS Dato Wee Hong Seng, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Dr Misah Md Ramli, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Pergigian) Kementerian Kesihatan Malaysia Dr Fauziah Ahmad, serta Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pengurusan) Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Banges Munga.