Jalur Gemilang berkibar di Pulau Talang-Talang

SEMATAN: Semangat patriotisme terus disemarakkan di Pulau Talang-Talang menerusi Program Kibaran Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan 2026.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu N3, Azizul Annuar Adenan berkata, penggantian Jalur Gemilang yang lama dengan bendera baharu di pulau berkenaan membuktikan semangat patriotisme tidak terhad di daratan.

Sebaliknya katanya, merangkumi setiap inci sempadan negara.

“Penggantian bendera yang sudah lama dan mengibarkan Jalur Gemilang serta bendera Ibu Pertiwi di pulau pemeliharaan ini membuktikan semangat patriotisme kita tidak terhad di daratan sahaja.

“Rasa cinta akan tanah air ini merangkumi setiap inci sempadan negara termasuk di pulau-pulau pelindung khazanah alam kita,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Setiausaha Politik Premier Sarawak, Abang Abdul Aziz Abang Draup pada Program Kibaran Jalur Gemilang di Pulau Talang-Talang sempena Bulan Kebangsaan 2026, hari ini.

Menurutnya, program berkenaan turut membawa mesej bahawa kemerdekaan perlu diterjemahkan melalui usaha menjaga alam sekitar dan ekosistem marin, khususnya pemeliharaan penyu di Pulau Talang-Talang.

“Kita bukan sahaja mengibarkan bendera, tetapi secara tidak langsung meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar dan ekosistem marin seperti penyu agar terus diwarisi masa hadapan,” tambahnya.

Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Lundu, Aishah Latip berkata, Jabatan Penerangan Malaysia turut berperanan memastikan maklumat yang disampaikan kepada masyarakat adalah sahih, tepat dan mudah difahami.

Katanya, usaha menyemarakkan patriotisme perlu sampai ke semua kawasan termasuk kampung, pedalaman dan pulau, seiring peranan jabatan sebagai penghubung antara kerajaan dengan rakyat.

Program berkenaan menjadi simbol bahawa semangat kenegaraan terus dibawa dari tanah besar hingga ke pulau, dengan Jalur Gemilang dikibarkan sebagai lambang cinta, kesetiaan dan penghormatan kepada Malaysia.