KUCHING: Bank Islam Malaysia Berhad menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM692,000 bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) di sini, hari ini.
Penyerahan zakat itu sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan institusi perbankan itu terhadap pembangunan ummah di Sarawak.
Pengerusi Majlis Pengawasan Shariah Kumpulan Bank Islam Ir Dr Muhamad Fuad Abdullah menyerahkan zakat kepada Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha dan disaksikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi, hari ini.
Ketua Pegawai Syariah dan Kelestarian Kumpulan Bank Islam Mohd Nazri Chik berkata, pembayaran zakat berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Bank Islam terhadap masyarakat Sarawak sejak mula beroperasi di negeri ini pada 1984.
Menurut beliau, peningkatan pembayaran zakat dari tahun ke tahun turut dipengaruhi sokongan berterusan rakyat Sarawak terhadap Bank Islam serta perkembangan operasi perbankan Islam di negeri ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, pertemuan bersama Premier Sarawak turut membincangkan potensi kerjasama antara Bank Islam dan Kerajaan Sarawak dalam memperkasa sektor wakaf.
Katanya, Bank Islam menyambut baik penubuhan Yayasan Wakaf Sarawak pada tahun lalu sebagai entiti baharu selain TBS, dan bersedia menyokong hasrat kerajaan negeri untuk memperluas pembangunan wakaf.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis penyerahan zakat berkenaan.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Staf Bank Islam Mohamed Iran Moriff Mohd Shariff.
