Pemilik haiwan digalak lengkapkan vaksinasi rabies

LIMBANG: Sarawak meneruskan usaha membendung rabies melalui Program Vaksinasi Besar-Besaran.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, menerusi program itu vaksinasi anjing diberikan secara percuma setiap tahun.

“Keutamaan diberikan kepada anjing peliharaan di kawasan bandar dan luar bandar.

“Oleh itu, pemilik anjing dan kucing harus memastikan haiwan peliharaan mereka menerima vaksinasi tahunan bagi membantu mengawal penyakit rabies,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Limbang World Cat Federation (WCF) International Cat Show 2026 di Hotel Purnama Limbang, hari ini.

Dr Abdul Rahman berkata, Sarawak belum bebas dari rabies, lantaran itu pelbagai usaha dilakukan Jabatan Veterinar, terutama melalui pemberian vaksin kepada anjing.

“Memang ada permintaan daripada pemilik kucing untuk mendapatkan vaksin secara percuma, tetapi kes rabies dalam kalangan kucing tidak banyak,” katanya.

Dalam pada itu, Sarawak turut menggunakan umpan vaksin rabies oral (ORV) bagi anjing berkeliaran sebagai salah satu langkah tambahan untuk mengawal penyakit berkenaan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai yang digigit atau dicakar anjing mahupun kucing dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.

Beliau menjelaskan, rabies mempunyai kadar kematian yang tinggi, namun ia boleh dicegah jika luka gigitan atau cakaran dicuci dengan segera dan mangsa mendapatkan vaksinasi antirabies lengkap selepas kejadian.